Remaja hari ini kebanyakannya resah bila belum berpunya. Melihat pasangan lain berdua-duaan ke sana ke mari. Terbit di hatinya keinginan yang sama. Perasaan itu fitrah dan kekal fitrah, suci dan bersih jika disalurkan ke jalan yang halal. Namun, benteng iman yang rapuh menyebabkan ramai pasangan remaja tersasar dalam cinta palsu mereka.
Bagi gadis suci yang belum berpunya, singkirkanlah resah di hatimu. Usah cemburu pada yang palsu dan menipu. Andalah pilihan-pilihan Allah untuk masih mekar terpelihara sehingga tiba pula giliran anda mendapat seruan, yakinlah.
Jangan risau jika masih belum berpunya kerana mungkin Allah ingin bagi ketenangan dulu buat anda untuk terus melangkah menggapai cita-cita dan Dia pasti menguji andasedikit masa lagi. Bersiap-sedialah. Anda pasti dijodohkan. Jika tidak di dunia nun di syurga.
Begitu juga buat pemuda yang belum berpunya, tabahlah dan teruskan berusaha. Memiliki seorang isteri solehah ibarat memiliki dunia dan seisinya. Sudah tentu jalan untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa amat berliku dan banyak cabaran. Jangan putus asa. Rasa mulialah dengan usaha yang dicurahkan walaupun pernah mengalami pinangan ditolak. Usah rasa malu dan terhina kerana Allah menilai setiap usaha selagi berjalan di landasan-Nya. Teruskan berusaha! Satu tip memikat yang dikagumi oleh wanita beriman ialah apabila seseorang lelaki pandai memikat ibubapa si gadis sebelum memikat dirinya.
“Apa yang memberi faedah kepada orang beriman selepas takwa kepada Allah,kebaikan buatnya ialah isteri yang solehah.” (HR Thobrani).
Dengarlah duhai remaja, bisikanku ini tulus untukmu. Dengarlah pesanku, cinta manusia yang kau damba seringkali mengecewakan. Allah s.w.t. memujukmu di dalam al-Quran, wanita yang baik itu untuk lelaki yang baik, begitulah sebaliknya (rujuk al-Nur: 26). Telah tercatat seungkap nama pasangan di loh mahfuz untukmu. Cuma peribadinya ditentukan oleh sejauh mana ketinggian peribadimu. Allah Maha bijak mengatur yang sepadan, kufu'. Jika kau tekun membaiki peribadi ke jalan yang diredhai, si dia akan terpilih di kalangan orang yang membaiki diri juga.
Remaja beriman, putuskan cintamu dengan segala cinta palsu yang dimurkai Ilahi. Ikatkan hatimu pada cinta agung nan hakiki. Lupakan segala kegundahan. Ubatilah resah di hati. Dekatkan diri pada cinta Ilahi , nescaya cinta pasangan soleh dan solehah turut kau miliki. Senyumlah pada sinar yang menantimu di hadapan.
SUMBER: di sini
1 comment:
this article is very good n all student must understand what mean this article....SUBHANALLAH......
Post a Comment