Thursday, February 4, 2010

Warkah Cinta Buat Rasulullah...



....اللهم صل على سيدنا محمد


Menemui kekasih yang dirindui, Ya Rasullullah. Aku menulis dalam keadaan hiba. Aku menulis dalam keadaan tak pasti adakah tulisan ini sesuai untuk Mu. Engkau kekasih Allah. Bimbang kalimah ini mengundang rasa tidak patut pada Mu. Tetapi aku tetap ingin berbicara denganMu. Biarlah sekejap ini dapat memadam rasa hiba dan mengurang perasaan rindu. Tapi tidak semudah itu, rindu ini tidak akan berkurang walau dengan apa cara sekalipun. Bahkan semakin bertambah perasaan ini. Sehinggalah dapat bertemu dengan Mu wahai Kekasih yang dirindui.


Kekasih yang dirindui,
Sore ini aku sedang mengembalikan ingatan lama, bilakah saat pertama aku mengenaliMu. Ku berkira-kira aku kenaliMu dengan sebuah lagu indah yang Ummi ajar semasa kecil itu. Mungkin umurku 4 atau 5 tahun. Belum bersekolah. Belum pandai berfikir. Entah-entah aku masih belum mumayyiz lagi. Tapi Ya Rasulullah aku ingat akan lagu itu sehinggalah sekarang. Lagu "Anak Nabi Kita" ku hafal dan sebut-sebutkan. Melalui lagu itu kau ketahui kamu mempunyai tujuh orang anak. Tiga lelaki dan empat perempuan. Kassim, Abdullah, Ibrahim, Fatimah, Zainab, Ummi Kalsum dan Siti Rokiah.


Tahukah wahai Kekasih, saat aku menyanyi lagu ini aku akan menguatkan suara di akhir nama anakMu iaitu Siti Rokiah. Kenapakah Rasulullah? Kerana nama anak perempuanMu itu sama dengan nama ummiku, Siti Rokiah. Aku berbangga menyanyinya di dalam kelas semasa aku di PASTI. Kemudian aku hebohkan juga nama itu kepada rakan-rakanku semasa di darjah satu. Seronoknya Ya Rasulullah apabila nama ummiku disebut-sebut. Lebih berbangga kerana nama itu juga adalah nama anak perempuanMu Ya Rasulullah. Mungkin Kamu begitu menyayanginya sebagaimana sayangnya ummiku kepada aku. Tapi sayang seorang Kekasih Allah lebih hebat dari sayang seorang insan biasa.


Wahai Rasulullah,


Kini semasa aku besar, barulah aku ketahui bahawa anak-anakMu yang tujuh itu semua meninggal semasa kecil kecualilah Fatimah Az-Zahra. Saat aku membaca kisah kematian anakMu itu di dalam catatan hadis, aku tidak segan untuk menangis. Apatah lagi apabila diceritakan janggutMu basah dengan air mata kesedihan disaat menguruskan jenazah anakanda yang tercinta itu. Tak dapat ku bayangkan betapa sedihnya Ya Rasulullah saat getir Kamu berdepan dengan situasi itu. Bagaimana Kamu begitu tabah menghadapi perancangan Allah itu.


SabarMu Ya Rasulullah benar membuatkan umatMu begitu menyayangiMu. UmmatMu ini begitu amat ingin bertemu denganMu. Kangan melihat wajahMu Ya Rasulullah. Besarnya jiwaMu Ya Rasulullah.


Ya Rasulllah, pernah pada suatu hari ada majlis ilmu khusus berbicara tentangMU. Aku mengambil tempat sebagai peserta. Pada sesi soal jawab aku bertanya tentang anak-anakMu itu kepada ustaz yang berceramah. Aku bertanya "Apakah hikmah Allah mengambil nyawa anak-anak Rasulullah semasa kecil?" Tahukah Rasulullah jawapan daripada ustaz membuatkan aku bertahmid memuji kebijaksanaan Allah mengatur perjalanan hidupMu sebagai kekasihnya.


Ya Rasulullah, kematian anakMu sebenarnya menutup lubang fitnah yag bakal dilemparkan oleh kaum kafir dan munafiq yang membenci risalah dakwahMu ini. Mereka tidak akan mampu untuk menuduhMu sebagai berkepentingan keluarga dalam perjuangan dakwahMu. Mereka tidak lagi mampu untuk berkata bahawa anak-anakMu bakal mewarisi perjuanganMu itu. Allahuakbar!! Besarnya hikmah Allah mengambil nyawa anak-anakMu itu.


Ya Rasulullah,
Aku ingin berbicara denganMu tentang kisah-kisah perjuanganMU dalam menegakkan kalimah Allah. Aku ingin berkongsi suka, duka, airmata dan luka yang Rasulullah alami sepanjang 23 tahun taklifatMu sebagai Rasul. Tak tegar aku melihat betapa susahnya kamu berjuang di medan dakwah ini. Tak sanggup aku mendengar celaan kaum musyrikin menghina perjuanganMu Ya Rasulullah. Pedih perasaanku mendegar diriMu luka dilempar batu semasa berdakwah di Taif. Aku ingin berbicara kisah yang aku tahu ini kepadaMU. Aku ingin melafaz rindu ini kepada Mu. Bahwa aku sangat mencintaiMU.



Ya Rasulullah,


Bumi Madinah ingin sekaliku jejak. Melewati medan syuhada dan perjuanganMu di sana. Moga Allah memberi rezeki untuk itu.


Allahuakbar, lewat senja ini aku menulis untukMU, cukuplah setakat ini dahulu. Akanku panjangkan warkah rindu dan cinta ini pada massa-masa akan datang. Ku kirim rindu ummat ini kepada Mu Ya Rasulullah.

p/s-Jangan lupa 26 Febuari 2010!!!


....اللهم صل على سيدنا محمد

No comments: